Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR ,28 MAC 2012: Pelakon, Liyana Jasmay, 24, selamat mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Fathuddin Mazlan,28, dalam majlis pertunangan di kediamannya di Kemensah Heights, sekitar jam 9 malam tadi.
Dalam majlis yang serba manis itu, Liyana Jasmay yang mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini telah menerima sebentuk cincin berlian.
Selain sebentuk cincin, Liyana Jasmay turut menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki berupa cincin, telekung, kek cawan, wangian dan sireh junjung.
Manakala tujuh dulang hantaran balas kepada pihak lelaki berupa wangian, al-Quran, sampin, butang baju melayu, kek, kek cawan dan manisan.
Diikat selama lebih kurang sepuluh bulan, Liyana berkata dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri pada 24 Januari 2013 iaitu tarikh yang telah ditetapkan oleh keluarga kedua-dua belah pihak ketika upacara pertunangan berlangsung.
"Tiada apa lagi yang saya harapkan. Semoga keindahan ini akan terus berpanjangan sehinggalah kami menjadi suami isteri dan bahagia hingga ke akhir hayat.
"InsyaAllah, rasanya saya sudah bersedia untuk melalui fasa baru dalam kehidupan ini,"katanya.
Diperkenalkan oleh seorang kawan, Liyana Jasmay berkata dia tidak boleh lupa detik perkenalan manisnya bersama tunang.
"Kami mula berkomunikasi melalui telefon setelah diperkenalkan oleh kawan sebelum sambutan Tahun Baru 2012. Setelah kerap berhubung barulah kami bersetuju untuk bertemu pada awal Januari ini.
"Selepas bertemu beberapa kali, saya dapat rasakan kami serasi dan saya benar-benar jatuh cinta.
"Dia sangat istimewa di mata saya. Selain menerima saya seadanya yang penting dia ada sisi humor yang memikat hati saya," luahnya.
Majlis pertunangan itu telah dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak selain rakan-rakan artis seperti Yusry Abdul Halim, Lisa Surihani, Farish Aziz, Awal Ashaari, Scha Al Yahya, Vanidah Imran dan ramai lagi.
Liyana bakal melancarkan video muzik lagu Cinta Bersatu buat pertama kalinya pada 30 Mac ini.
No comments:
Post a Comment